fb fb fb fb fb

Situasi jangkitan denggi di Perlis masih membimbangkan

(Foto fail)

KANGAR, 14 Julai- Situasi jangkitan denggi di Perlis masih membimbangkan dengan 32 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 2 hingga 8 Julai lepas.

Walaupun jumlah itu menunjukkan penurunan 16 kes berbanding jumlah yang dilaporkan pada minggu sebelumnya, namun jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan hingga 8 Julai adalah sebanyak 475.

Ini merupakan peningkatan 457 kes atau 2,538.9% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu 18 kes.

Dua kematian turut dilaporkan sehingga 8 Julai ini.

Exco Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan dalam kenyataannya memaklumkan, sebanyak 45 lokaliti wabak denggi telah dilaporkan sehingga kini.

14 lokaliti wabak denggi masih aktif termasuk satu lokaliti titik panas denggi iaitu Taman Jali dengan 16 kes.

Terdapat 3 lokaliti wabak tak terkawal iaitu lokaliti wabak Felcra Lubuk Sireh dengan 16 kes, lokaliti wabak Taman Melati Indah (6 kes) dan lokaliti wabak Taman Kemajuan (10 kes).

"Sebanyak dua lokaliti wabak baharu dilaporkan sepanjang minggu lalu iaitu lokaliti Taman Ira dan lokaliti Taman Emas dan empat mukim yang menunjukkan beban kes terbanyak iaitu mukim Titi Tinggi dengan 112 kes, Mukim Kuala Perlis dengan 89 kes, Mukim Utan Aji dengan 81 kes dan Mukim Sena dengan 52 kes," kata Megat Hashirat kepada media di sini.

Hingga 8 Julai 2023, sebanyak 165 notis kompaun bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 telah dikeluarkan kepada premis yang didapati mempunyai pembiakan nyamuk Aedes.

(Situasi jangkitan denggi di Perlis masih membimbangkan)

Media Baharu