BONGAWAN, 27 November - Projek Jalan Bukit Manggis sepanjang 29.3 kilometer, di sini bakal disiapkan lebih awal berbanding dijadualkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihaknya menetapkan tarikh siap terbaharu pada 7 Jun 2027 susulan arahan untuk mempercepat kerja pembinaan.
Katanya, usaha menyegerakan projek dibuat selepas mengalami tiga kali lanjutan masa disebabkan isu pengambilan tanah, namun masalah berkenaan kini telah diselesaikan.
"Saya mengharapkan kerjasama antara pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya untuk memastikan projek bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ini dapat disegerakan demi kepentingan rakyat terutama di Manggis dan Papar.
"Saya akan terus memantau pencapaian dari segi kemajuan projek," katanya kepada RTM selepas meninjau projek berkenaan di sini.
Setakat ini, RM60 juta daripada keseluruhan peruntukan RM127 juta telah digunakan bagi pelaksanaan projek berkenaan.