fb fb fb fb fb

Warga emas, pemandu lori didenda ceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi


SUNGAI PETANI, 12 Januari - Seorang lelaki warga emas dan pamandu lori didenda RM1,500 setiap seorang kerana menceroboh kawasan Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik, Kedah.

Hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Najwa Che Mat, pagi tadi.

Berdasarkan fakta kes, pada 23 Ogos 2021, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah melakukan rondaan di kawasan Hutan Simpan Rimba Teloi dan terdengar bunyi mesin gergaji rantai sedang digunakan.

Hasil pemeriksaan di kompartmen 23 mendapati, satu kawasan lapang telah dibersihkan serta terdapat pembakaran kayu di kawasan tersebut.

Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua individu iaitu tertuduh, Ismail Taib, 69 tahun dan Kairul Anuar Zuklifli, 34 tahun.

Semakan mendapati, kedua-dua individu berkenaan gagal mengemukakan permit memasuki hutan simpanan kekal.

Pasukan Jabatan Perhutanan turut menemui tiga bilah parang, tiga tong minyak dan tiga buah motorsikal yang disyaki digunakan tertuduh.

Kedua-dua tertuduh didakwa dibawah Subseksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) yang telah diterima pakai oleh Negeri Kedah di bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya JPSM, Naquiah Jusoh dan Naliatul Huzaimi Ab. Rasip.

Manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Media Baharu