fb fb fb fb fb

OP Penjaja: JPJ akan saman peniaga dan pembeli yang menjaja di persimpangan jalan, jalan raya.


SEREMBAN, 12 Januari - Tindakan saman akan terus dikenakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan terhadap pembeli dan peniaga yang didapati menjalankan aktiviti menjaja di persimpangan jalan atau  mana-mana jalan raya di negeri itu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap perbuatan tersebut kerana ia boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya.

"Beberapa program advokasi terhadap peniaga atau penjaja jalanan telah diadakan bagi memberi peringatan terakhir. 

Merujuk kepada Kaedah 10A(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, tiada sesiapa boleh menjual atau menawarkan untuk menjual benda atau barang kepada mana-mana individu yang berada di dalam atau di atas kenderaan di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya," katanya dalam sidang media selepas Program Advokasi Penjaja Jalanan di Jalan Rasah, di sini.

Tambah Hanif, bagi Kaedah 10A(2) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 pula menyatakan, tiada sesiapa pun yang berada di dalam atau di atas kenderaan boleh membeli benda atau barang daripada mana-mana individu di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya.

Jika didapati bersalah, peniaga dan pembeli boleh didenda tidak melebihi RM2,000 dan penjara tidak melebihi 6 bulan.

Mengulas lanjut, pihaknya mengesan 10 lokasi utama persimpangan lampu isyarat yang menjadi tumpuan penjaja jalanan menjalankan perniagaan mereka di sekitar daerah Seremban.

Sehubungan itu JPJ meminta penjaja jalanan merujuk kepada pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan nasihat berhubung lokasi dan syarat lesen yang berkaitan bagi tujuan menjalankan perniagaan mengikut peraturan yang betul.

Media Baharu