fb fb fb fb fb

Lebih 9,000 permohonan diterima untuk kerja baik pulih, bina rumah baharu akibat banjir - KPKT

KUALA LUMPUR, 12 Januari - Sebanyak 9,263 permohonan diterima menerusi Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia setakat SEMALAM untuk kerja baik pulih serta bina rumah baharu yang terjejas akibat banjir.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib berkata proses penilaian giat dilaksanakan di kawasan terjejas sebelum kerja-kerja berkenaan.

"Data-data ini dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah di setiap daerah. Di sinilah, PKOB mengenal pasti rumah terkesan, penduduk yang terjejas juga boleh mendaftar dengan PKOB. Data ini diselaras dan dikumpul di negeri masing-masing.

"Untuk pembaikan ini pula, jika kos RM5000 ke bawah, kerajaan putuskan diberi secara tunai.. tetapi bagi nilai RM5,000 hingga RM15,000, PRIMA akan turut buat penilaian pembaikan", katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkaspuri.

Sebanyak RM50 juta menerusi Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia disediakan dengan bantuan RM15,000 untuk kerja pembaikan rumah dan RM56,000 untuk membina kediaman baharu.

Pelaksanaannya dilakukan menerusi dua kementerian bertanggungjawab iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan KPKT.

Beliau turut meminta penduduk terjejas akibat banjir untuk segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah masing-masing untuk mendapatkan peruntukan tersebut.

Media Baharu