fb fb fb fb fb

Pembangunan rumah mampu milik dirancakkan semula pasca PKP - PR1MA

PETALING JAYA, 12 Januari - Pembangunan projek rumah mampu milik Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Kuala Lumpur dan Selangor dirancakkan semula ketika pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sasaran tarikh siap yang baharu.

Usaha itu diyakini mampu mempergiatkan pemilikan rumah dalam kalangan M40.

Pengerusi PR1MA, Dato' Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata pelaksanaan PKP sejak Mac 2020 menyebabkan proses pembinaan terpaksa diperlahankan, sekali gus menyebabkan kelewatan.

"Saya mengambil maklum bahawa kelewatan ini telah menyebabkan para pembeli mengalami kesukaran. Namun kami di PR1MA berusaha memastikan pelan mitigasi projek sakit terutamanya yang terkesan akibat daripada penutupan sektor ekonomi ketika PKP berada dalam senarai keutamaan.

"Kami juga ingin memberi peringatan kepada kontraktor dan konsultan untuk menyiapkan projek-projek ini mengikut perjanjian yang telah dimeterai dan kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya selepas selesai program Jelajah #PR1MAKita," di sini.

Di Selangor, PR1MA mempunyai lima projek iaitu masing-masing dua di Kajang dan Cyberjaya serta satu di Bandar Bukit Mahkota.

Daripada jumlah tersebut, tiga telah siap manakala dua masih dalam pembinaan.

Di Kuala Lumpur pula, PR1MA mempunyai tiga projek dan dua telah disiapkan manakala satu masih dalam pembinaan.

ProjekĀ itu dilaksanakan dengan matlamat menyediakan kediaman yang selesa, berkualiti dan berpatutan kepada rakyat yang bermastautin di ibu kota atau kawasan sekitarnya.

Media Baharu