KUALA LUMPUR, 12 Januari - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Perangkaan menjalankan Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial bagi rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.
Buat permulaan, kajian memberi fokus kepada warganegara yang bekerja di Singapura dalam usaha membina jaringan keselamatan sosial lebih komprehensif.
Kajian tersebut akan membina ekosistem profil, mengumpul maklumat serta mengenal pasti keperluan rakyat yang bekerja di republik itu.
Isu berbangkit turut dikenal pasti agar tindakan susulan bersesuaian dapat dicadangkan.
Dianggarkan 150,000 rakyat negara ini akan terlibat dalam kajian tersebut, terutama individu yang berulang-alik secara harian ke Singapura untuk bekerja sebelum pandemik melanda.
Individu yang menepati kriteria ditetapkan, perlu berkongsi input melalui soal selidik yang dilaksanakan secara dalam talian sehingga 28 Februari depan.