fb fb fb fb fb

Warga emas melecur dalam kebakaran bengkel

FOTO JBPM Pulau Pinang

KEPALA BATAS, 2 Februari- Seorang lelaki warga emas melecur dalam satu kebakaran melibatkan sebuah bengkel kereta di Kampung Lahar Ikan Mati, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.11 pagi.

Katanya, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas, Bertam dan Tasek Gelugor dikerah ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan berkenaan.

Setibanya di tempat kejadian iaitu pada pukul 7.18 pagi, kebakaran didapati sudah merebak ke hampir keseluruhan bengkel terbabit.

Seorang lelaki berusia 64 tahun yang dipercayai berada di kawasan bengkel ketika kejadian turut mengalami kecederaan iaitu melecur di bahagian belakang badan. 

Pasukan penyelamat seterusnya segera memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut. 

Anggaran kemusnahan adalah sekitar 80 peratus termasuk beberapa buah kenderaan yang berada di dalam bengkel ketika kebakaran berlaku.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE