fb fb fb fb fb

Pembangunan semula Gaza, perkukuh reputasi Malaysia pertahan hak asasi manusia

Keadaan di Khan Younis/ Reuters

KUALA LUMPUR, 2 Februari- Jalinan kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam pembangunan semula Gaza dilihat mampu mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Aizat Khairi berkata, inisiatif itu turut membuka peluang dalam sektor perdagangan kedua-dua negara.

"Hubungan ini bukan sahaja memberi sumbangan terhadap pembinaan semula Gaza tetapi pada masa sama dapat meningkatkan hubungan dua hala dari segi perdagangan dan juga rakan strategik.

"Terdapat beberapa aspek yang boleh dilakukan hasil hubungan kolaborasi Malaysia dan Jepun terutamanya dalam aspek pembangunan bandar pintar dan infrastruktur berteraskan teknologi 5G. Ini bukan sahaja dapat mewujudkan peluang pekerjaan di Gaza tetapi juga dapat meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Jepun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi RTM.

Pendekatan itu juga akan memperkukuh reputasi Malaysia sebagai sebuah negara aktif memperjuangkan hak asasi manusia.

Ia juga selari dengan kerangka MADANI yang menerapkan aspek kemampanan, kesejahteraan, serta nilai ihsan.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha pemulihan membantu pembangunan semula Gaza.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI