fb fb fb fb fb

Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah: 10 mahasiswa beri keterangan

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 2 Februari- Polis telah selesai mengambil keterangan 10 pelajar universiti bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah di hadapan sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur hujung bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata kesemua mereka tersebut telah selesai memberi keterangan pada 2.30 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Mereka hadir bersama lima peguam untuk proses siasatan yang dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Selain itu, dua lagi mahasiswa bersetuju untuk memberi keterangan mereka di Sabah, manakala seorang lagi masih belum memberi pengesahan.

Dalam Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah, 25 Januari lalu, kira-kira 200 peserta berarak dari pusat beli-belah tersebut hingga ke Dataran Merdeka.

Perhimpunan itu didakwa sebagai platform penting bagi rakyat menyuarakan pandangan terhadap isu rasuah, selaras dengan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE