fb fb fb fb fb

Warga emas maut kemalangan

FOTO HIASAN

KOTA BHARU, 21 Disember - Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisionar (ACP) Mohd Rosdi Daud dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.19 petang.

“Hasil siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati kenderaan mangsa dari arah Jalan Zainal Abidin bergerak perlahan dalam jarak 100 meter ke Jalan Sultan Ibrahim tanpa berhenti di simpang jalan.

“Mangsa ketika itu dipercayai tidak sedarkan diri dan kenderaan mangsa telah terbabas ke arah pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mohd Rosdi berkata mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II dan pemeriksaan mendapati warga emas berkenaan mempunyai rekod pelbagai jenis penyakit termasuk darah tinggi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

TETITIA YUSOFF