PADANG BESAR, 12 Januari- Seorang warga emas berumur 61 tahun maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit.
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah dalam kenyataannya berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar menerima panggilan mengenai kebakaran berkenaan kira-kira 1.20 petang.
Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar diketuai Penguasa Kanan Bomba, Nur Ahmad Zaki Nor bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar dan sebuah jentera bomba bergegas ke lokasi kebakaran tujuh minit kemudian.
Kebakaran berkenaan memusnahkan 75% rumah yang didiami mangsa.
Bagaimanapun, api berjaya dikawal kira-kira pukul 1.35 petang.
Mayat mangsa ditemui anggota bomba dalam sebuah bilik dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri.
(Rumah terbakar di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit)