KEPALA BATAS, 12 November -Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memperkukuh penguatkuasaan bawah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024) bagi membanteras penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri itu.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, penguatkuasaan dilakukan melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang sejak pelaksanaan penuh akta tersebut pada 1 Oktober lalu.
Katanya, pelbagai operasi dan tindakan telah dijalankan bagi memastikan semua premis yang terlibat mematuhi peruntukan undang-undang berkenaan.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak 616 operasi telah dijalankan bawah Akta 852 melibatkan 11,160 premis di seluruh negeri.
"Sebanyak 448 notis dengan tawaran kompaun bernilai RM102,600. Manakala sembilan kertas siasatan bagi tindakan pendakwaan juga kepada kesalahan yang tidak boleh dikompaun pun telah dilaksanakan ke atas pelbagai kesalahan melibatkan bahan merokok. Kita dapat lihat dengan pelaksanaan penuh Akta 852 ini, kita dapat lihat satu situasi yang boleh katakan terkawal di Pulau Pinang. Jadi perkara itu memang kita akan terus pantau," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Aspresiasi Skuad Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, di sini.
Dalam pada itu, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri, Roswati Apin berkata, daerah Seberang Perai Tengah (SPT) melibatkan Mukim 16 berjaya dihijaukan dari lokasi ‘hotspot’ atau kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah kepada kawasan berisiko rendah.
Kejayaan tersebut hasil kerjasama daripada semua agensi termasuklah penglibatan Skuad AADK yang menjadi mata dan telinga pihaknya.
"Buat masa ini kita ada beberapa kawasan yang kita panggil dalam kawasan berisiko, tempat berisiko tinggi, iaitu di kawasan seberang SPT, Tengah. Dan Alhamdulillah, kita menunjukkan indikator yang kita gunakan menunjukkan terkawal dari situ, walaupun ada sedikit memang kita fokus tempat-tempat tersebut. Tetapi, Alhamdulillah, kita dah berjaya untuk mengekalkan dan menghijaukan seperti mana AADK yang mempunyai indikator-indikator tertentu untuk menentukan sama ada tempat itu satu tempat yang hijau ataupun sebaliknya,"katanya.
Hingga 31 Mac lalu, kes penagihan dan penyalahgunaan dadah di Pulau Pinang adalah sebanyak 8,180 sekali gus meletakkan negeri ini di kedudukan keenam di Malaysia. Trend semasa kes menunjukkan penurunan dan terkawal.