KUANTAN, 12 November -Program Townhall Rakyat Bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang diadakan di sini, menerima sambutan amat menggalakkan daripada rakyat negeri itu.
Datuk Seri Wan Rosdy berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk beliau menyampaikan fakta berkaitan dasar serta pembangunan negeri, selain mendengar sendiri pandangan dan cadangan daripada rakyat melalui sesi soal jawab.
Menurut beliau, sambutan diluar jangka itu menunjukkan keprihatinan rakyat terhadap isu-isu semasa untuk mengetahui isu semasa berkaitan pembangunan negeri Pahang, secara terus daripadanya.
"Saya sangat berpuas hati, kehadiran semua dan dapat menyampaikan mesej apa yang telah kerajaan negeri buat, laksanakan dan akan dibuat dan juga ada pertanyaan daripada dan mereka telah mengemukakan pandangan, cadangan semuanya diambil kira. Malah sesetengah daripada yang mereka perkatakan itu telah pun diambil kira, cuma kadang-kadang kita ada kekangan bajet peruntukan, kerana ia melibatkan peruntukan yang sangat besar.
"Dan Kerajan Persekutuan kita telah kemukakan dan mereka ada yang meluluskan permohonan kita tapi ada juga yang mereka sedang kaji dan teliti," katanya kepada pemberita selepas Program Townhall Rakyat Bersama Menteri Besar Pahang, di Dewan Paya Besar Dato’ Sri Abdul Manan, di sini.
Tambahnya, program berkenaan perlu diteruskan dan beliau bersedia sekiranya ada jemputan bagi program serupa. Inisiatif tersebut katanya, menjadi salah satu siri turun padang kerajaan negeri bersama dengan rakyat Pahang.
Sementara itu, mengulas mengenai Belanjawan 2026 Negeri Pahang yang bakal dibentangkan pada 5 Disember ini, beliau berkata, selain penambahbaikan inisiatif sedia ada, pelbagai bentuk inisiatif baharu turut akan dilaksana.
Pihaknya masih meneruskan program pemukiman dan membuka peluang kepada rakyat untuk mengajukan pandangan.
Datuk Seri Wan Rosdy berkata, cadangan yang dikemukan akan diteliti dan dinilai bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri.