PUTRAJAYA, 11 November - Minggu Sains Negara (MSN) 2025 menutup tirai dengan kejayaan mencapai sasaran 300,000 penyertaan secara fizikal.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program merentasi enam zon di seluruh negara, termasuk siri jelajah Kembara Sains Borneo dan Rehlah Sains ini menjadikan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) lebih dekat dengan masyarakat.
Program ini bukan sahaja memperkasa pemahaman masyarakat tentang STI, tetapi juga menekankan pembangunan daya cipta dan inovasi, selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.
"Berdasarkan sambutan dan pencapaian MSN pada tahun ini, kerajaan mengiktiraf peranan MSN sebagai program pelengkap kepada kurikulum sedia ada di sekolah-sekolah yang menyediakan pembelajaran STI bersifat luar bilik darjah melalui pendekatan 'hands-on' dan interaktif.
"Inilah kaedah yang paling berkesan untuk mencetuskan minat dalam kalangan anak-anak muda kita," katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan dan Apresiasi Minggu Sains Negara (MSN) 2025 di sini.
Tambah beliau, penganjuran MSN 2025 terbukti berjaya melalui sinergi antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), termasuk di Sarawak, Terengganu, Sabah, Johor dan Kedah.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), program seperti MSN memberi impak besar dalam menyemarakkan semangat pelajar di seluruh negara untuk menyertai aliran sains dan teknologi, menjadikan sains sesuatu yang menyeronokkan, bermanfaat dan kunci kepada peluang masa depan.
Kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta memastikan inisiatif STI dapat dilaksanakan secara inklusif dan berimpak tinggi, sekali gus membina generasi muda yang kreatif, berinovasi dan berteknologi tinggi demi pembangunan negara.