fb fb fb fb fb

Isu 40 peratus hasil Sabah bukti keberanian politik Kerajaan MADANI

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud/BERNAMA

KOTA KINABALU, 11 November - Parti KEADILAN Rakyat (PKR) Sabah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata keputusan itu membuktikan keberanian dan komitmen Kerajaan MADANI dalam menghormati semangat serta roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Keputusan ini menandakan titik pemulihan keadilan fiskal yang telah dinantikan hampir 50 tahun oleh rakyat Sabah.

"Ia membuktikan prinsip keadilan dan kesaksamaan yang dipegang Perdana Menteri benar-benar diterjemah dalam tindakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri atas keberanian serta keikhlasan menghormati keputusan mahkamah sekali gus membuka lembaran baharu hubungan Persekutuan dan Sabah yang berasaskan keadilan.

“Tindakan ini memperkukuh keyakinan rakyat Sabah bahawa kepimpinan PMX benar-benar memahami denyut nadi dan perjuangan rakyat negeri ini untuk mendapatkan hak yang sekian lama dinafikan,” menurut kenyataan itu.

Jelas beliau, parti itu turut menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk memulakan rundingan dengan Kerajaan negeri Sabah berhubung mekanisme pengagihan hasil 40 peratus sebaik selesai Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri.

“Kami menyambut baik keputusan untuk memulakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan mekanisme pengagihan 40 peratus hasil dapat dijalankan secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang,” tambahnya.

Datuk Mustapha turut menyeru agar rundingan dilaksanakan dengan semangat kerjasama dan keikhlasan tanpa permainan politik atau kepentingan sempit, demi memastikan hasil Sabah benar-benar kembali untuk pembangunan wilayah dan kesejahteraan rakyat.

“Langkah ini membuka era baharu hubungan Persekutuan–Sabah yang lebih matang, saling menghormati dan berasaskan prinsip keadilan dalam perkongsian hasil mahsul negara,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD