fb fb fb fb fb

Malaysia-Rusia teroka peluang kerjasama baharu

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama rakan sejawatannya dari Rusia, Valery Falkov/ Foto FB Zambry Abd. Kadir

LANGKAWI, 11 November - Malaysia dan Rusia sedang meninjau peluang kerjasama baharu dalam bidang nanoteknologi, pembangunan bandar pintar, serta penyelidikan bersama dalam pertanian dan teknologi makanan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JC-ESTC) kali ke-4 di sini.

"Dalam masa yang sama, institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan Malaysia turut bersemangat untuk bekerjasama dengan universiti-universiti Rusia dalam bidang berteknologi tinggi, seperti teknologi maklumat dan komunikasi, kecerdasan buatan, sains data, serta pengaturcaraan, iaitu bidang-bidang yang menjadi teras kepada agenda transformasi digital Malaysia.

"Terdapat beberapa universiti yang tampil untuk menandatangani pertukaran dokumen. Saya berharap usaha ini akan membuahkan hasil yang positif kerana kerjasama antara universiti sentiasa menghasilkan projek yang berimpak besar demi manfaat dan kemajuan kedua-dua negara," katanya.

Menurut beliau, mesyuarat yang dipengerusikan bersama dengan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Valery Falkov itu merupakan platform penting untuk memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan tinggi, sains dan teknologi, perdagangan, pelancongan, pertanian serta ekonomi halal.

Bersempena mesyuarat tersebut, buat julung kali, tiga acara sampingan utama dianjurkan, iaitu Persidangan Meja Bulat Malaysia-Rusia, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Dialog Mineral dan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Rusia 2025.

Antara hasil utama mesyuarat ialah pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dengan Rusia, serta pemuktamadan Minit Persetujuan 'Agreed Minutes' yang menggariskan hala tuju kerjasama masa depan.

Lebih 130 delegasi Rusia hadir pada mesyuarat kali ini.

MASNIZA AWANG KECHIK