fb fb fb fb fb

Isu 40 peratus hasil Sabah: Hajiji hargai tindakan Kerajaan Persekutuan

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan)/BERNAMA

KOTA KINABALU, 11 November- Kerajaan negeri Sabah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan itu menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah, selain mencerminkan komitmen beliau untuk menegakkan hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam pertemuan dan perbincangan saya dengan Perdana Menteri, saya telah menyatakan pendirian tegas Kerajaan Negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.

Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan menghormati keputusan mahkamah merupakan langkah penting untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, terutama di kawasan luar bandar yang masih berdepan kekurangan infrastruktur, pertanian dan kemudahan asas.

“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan serta melaksanakan hak 40 peratus itu,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan negeri bersedia berunding secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan arahan mahkamah untuk menyemak dan memuktamadkan perjanjian tersebut.

Beliau turut menyeru agar rakyat terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD