NIBONG TEBAL, 12 Januari-Projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Kerian dan pembinaan jejambat merentasi persimpangan jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian Seberang Perai
Selatan, yang mengalami sedikit kelewatan dijangka siap pada Februari 2025.
Naik taraf tersebut dijangka akan mengurangkan kesesakan trafik dari Pulau Pinang ke Perak, menjimatkan masa perjalanan pada waktu puncak selain mengatasi masalah banjir kilat di kawasan itu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kelewatan projek tersebut berpunca daripada isu berkaitan pengambilan balik tanah sebuah rumah ibadat.
Bagaimanapun menurutnya kelewatan projek yang menelan kos 209 juta itu tidak akan mengakibatkan sebarang pertambahan kos.
Difahamkan, tarikh siap kerja asal adalah pada 7 Julai tahun depan selepas pemilikan tapak diperoleh pada 8 Julai tahun lalu.
"Jadi projek itu tidak terlalu lewat kerana terdapat masalah pengambilan tanah. Masalah tersebut telah pun diselesaikan bersama pemegang taruh dan saya harap projek dapat diselesaikan dalam masa terdekat", ujar beliau yang ditemui selepas selesai sesi lawatan projek tersebut di Nibong Tebal, petang tadi.
(Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi)