fb fb fb fb fb

Dua pengedar dadah ditahan

ALOR SETAR, 12 Januari- Polis di Taman Rajawali Indah, Alor Setar berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah dalam satu operasi awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir menerusi kenyataan berkata, dalam operasi terbabit 357.35 gram dadah jenis heroin dan 5.62 gram syabu dirampas.

Polis percaya rumah tersebut digunakan oleh kedua-dua suspek masing-masing berumur 40 dan 43 tahun untuk membungkusnya semula sebelum diedarkan kepada penagih-penagih dadah tempatan.

Turut dirampas sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM660 dipercayai diperoleh hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Jumlah rampasan dadah dan sitaan dalam operasi itu dianggarkan sebanyak RM15,000.

Kedua-dua suspek didapati positif morfin dalam ujian saringan awal air kencing selain mempunyai dua rekod jenayah dan direman selama tujuh hari.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Bahagian III ADB (Pelucuthakan Harta) 1988.

(Dadah yang dirampas dalam operasi di Taman Rajawali Indah)

Media Baharu