POKOK SENA, 16 Julai – Penemuan benjolan kecil berhampiran leher kira-kira empat tahun lalu merubah hidup seorang warga emas apabila Miah Mat, 80 tahun disahkan menghidap kanser tiroid tahap empat.
Miah dari Kampung Bendang Baru, Jalan Naka di sini, hanya terlantar di rumah selepas ketulan yang pada mulanya hanya sebesar biji guli semakin membesar menjadi sebesar bola takraw.
Pada 2021, Miah telah menjalani pembedahan pertama di sebuah hospital di Pulau Pinang untuk membuang ketulan berkenaan. Namun, selepas enam bulan, ketulan tersebut kembali muncul, membesar, pecah dan sering mengeluarkan darah.
"Darah selalu keluar disebabkan ketulan itu dah pecah. Kalau dah kering dan terkoyak kesan luka itu darah akan keluar lagi.
"Mandi setakat tengkuk boleh, solat sekarang ni berdiri. Nak duduk tak boleh lagi, harapan mak cik supaya penyakit ini akan sembuh," katanya.
Keadaan kesihatannya semakin merosot serta faktor usia menyebabkan doktor tidak mengesyorkan pembedahan susulan kerana dikhuatiri memberi risiko.
Menurut anak bongsunya, Razalee Yunus, 36 tahun, ibunya kini mengalami penurunan berat badan dan kurang selera makan, selain terpaksa dibantu sepenuhnya untuk menjalani rutin harian.
"Untuk penjagaan harian, luka pada ketulan perlu dicuci tiga kali sehari – pagi, tengah hari dan malam – kerana darah sering keluar. Kos untuk mencuci luka itu mencecah sekitar RM400 hingga RM500 sebulan," katanya.
Miah dijaga sepenuhnya oleh Razalee dengan bantuan kewangan daripada enam adik-beradiknya yang lain.
Kisah penderitaan Miah mendapat perhatian Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal, yang hadir menziarah dan menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur kepada keluarga tersebut.
"Kami datang menziarah untuk bertanya khabar. Alhamdulillah, makcik masih boleh makan, namun luka akibat sel kanser yang telah pecah menyebabkan kesakitan. Kami nasihatkan luka itu dicuci setiap hari bagi mengelak jangkitan," katanya.
Orang ramai yang prihatin dan ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Razalee Yunus di nombor 02075025183281 atau menghubunginya di talian 013-3055351.