fb fb fb fb fb

4 syarikat dilantik jadi PPKM, beroperasi 3 bulan lagi

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke/ Foto RTM

PUTRAJAYA, 16 Julai - Empat daripada tujuh syarikat menerima tawaran Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menyediakan perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) tambahan, khusus untuk melaksanakan perkhidmatan Pemeriksaan Tukar Hak Milik (M.V.15) bagi kenderaan persendirian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika mengumumkan perkara itu berkata, selain bertujuan mengurangkan kesesakan di PPKM sedia ada, inisiatif itu sebagai nilai tambah kepada tawaran perkhidmatan seumpamanya di seluruh negara.

"MOT ingin menegaskan bahawa pembukaan lebih banyak PPKM bertujuan meningkatkan persaingan sihat dan memastikan pemeriksaan kenderaan yang lebih berkualiti demi keselamatan pengguna jalan raya.

"Perluasan PPKM ini juga seiring dengan Dasar Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan semasa, di mana kerajaan telah beralih daripada sistem konsesi pemain tunggal kepada sistem perlesenan berbilang pemain industri," katanya dalam Sidang Media Inisiatif Penambahan Kapasiti Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) di sini.

Menurut Anthony, inisiatif itu akan memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan, khususnya bagi pemilik kenderaan yang ingin menjual kenderaan, serta syarikat penjual kenderaan terpakai.

"Sekarang ini mereka hanya ada satu pilihan iaitu pergi ke Puspakom. Jadi, dengan kita membuka pasaran ini akan memudahkan lagi proses ini. Maksudnya dengan adanya premis-premis ini, tidak perlu lagi ke Puspakom. Tidak perlu bercampur dengan kenderaan berat," katanya.

Empat syarikat tersebut ialah Carro Technology Sdn. Bhd, Carsome Academy Sdn. Bhd, Wawasan Bintang Sdn. Bhd. dan Beriman Gold Sdn. Bhd.

Bagaimanapun tawaran tersebut merupakan kelulusan bersyarat yang menuntut syarikat dilantik mematuhi semua syarat bawah Garis Panduan Pemberian Lesen Pengoperasian PPKM Bagi Melaksanakan M.V.15 Kenderaan Motor Persendirian untuk tempoh 12 bulan.

Antara syarat ditetapkan, syarikat berkenaan dikehendaki menyediakan infrastruktur merangkumi premis, perolehan peralatan pemeriksaan, integrasi dengan sistem MYSIKAP, serta keperluan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan, termasuk memastikan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PKM) mendapat pentauliahan kompetensi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam tempoh tersebut, pihak JPJ akan melaksanakan pemantauan berterusan dan Lesen Operasi hanya akan diberikan setelah syarikat memenuhi semua keperluan peraturan dan kelengkapan peralatan, serta bersedia memulakan operasi.

"Walaupun kita memberikan mereka tempoh 12 bulan untuk menyediakan tempat untuk mula beroperasi, namun kita difahamkan ada syarikat yang boleh menyediakan premis mereka dalam tempoh 3 bulan. Jadi, ini sesuatu yang kita nak percepatkan untuk memudahkan rakyat," katanya.

MASNIZA AWANG KECHIK