fb fb fb fb fb

Pengecualian visa Malaysia-China bagi lawatan jangka pendek, berkuat kuasa esok

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Pengecualian visa bagi warganegara Malaysia untuk lawatan jangka pendek ke China, sehingga 90 hari dalam setiap tempoh 180 hari, akan mula berkuat kuasa esok.

Kedutaan China di Malaysia menerusi kenyataan rasmi memaklumkan, langkah itu susulan pelaksanaan rasmi Perjanjian Pengecualian Visa Bersama antara Kerajaan Malaysia dan Republik Rakyat China.

Ia hasil kesepakatan yang dicapai semasa lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu.

Perjanjian tersebut membolehkan pemegang pasport biasa Malaysia dan China untuk memasuki, keluar, atau transit di wilayah masing-masing tanpa keperluan visa, dengan tempoh penginapan maksimum 30 hari bagi setiap kemasukan.

"Kemudahan ini merangkumi tujuan pelancongan, lawatan keluarga dan rakan, urusan perniagaan, pertukaran budaya, rawatan perubatan, urusan peribadi serta bagi kru pengangkutan antarabangsa. Bagaimanapun, jumlah keseluruhan penginapan tidak boleh melebihi 90 hari dalam setiap tempoh 180 hari", menurut kenyataan itu.

Sementara itu, individu yang merancang untuk tinggal melebihi 30 hari atau yang mempunyai tujuan seperti bekerja, melanjutkan pelajaran, menyertai aktiviti media, atau terlibat dalam sebarang aktiviti lain yang memerlukan kelulusan khas, masih perlu memohon visa sebelum memasuki negara berkenaan.

ROSLINA BINTI DIN