fb fb fb fb fb

Warga asing maut jatuh kondominium ketika lari serbuan polis

Kes suspek yang mati akibat jatuh dari kondominium terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

GEORGE TOWN, 22 Januari- Seorang lelaki warga asing ditemukan mati apabila terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Uban ketika cuba melarikan diri selepas rumahnya diserbu polis dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang telah menyerbu kondominium berkenaan selepas mendapat maklumat mengenai kediaman terbabit yang dijadikan pusat pengedaran dadah.

Katanya, seorang suspek ditahan di rumah berkenaan manakala seorang lagi suspek diberkas di tingkat lain kondominium tersebut.

"Dan seterusnya team (kumpulan) serbuan membuat tinjauan di bahagian bawah, didapati terdapat satu body (badan) yang kelihatan terbaring ," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, pihak polis menemukan sejumlah dadah jenis ekstasi dan syabu di dalam rumah tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes suspek yang mati akibat jatuh dari kondominium terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM