fb fb fb fb fb

Wanita warga Kanada ditemui mati

13 Disember- Seorang wanita warga emas berstatus warganegara Kanada ditemui mati di rumah kedai sewanya di Blok G Synergy Square, Jalan Matang Kuching kira-kira pukul 4.00 petang tadi.

Menurut kenyataan dari Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, mangsa Tan Onn Har, 82 merupakan warganegara Kanada berdasarkan passport yang ditemui pada mangsa.

Kejadian itu berdasarkan laporan seorang wanita tempatan yang terhidu bau busuk, dari tingkat bawah kediamannya sebelum menghubungi balai polis berhampiran.

Dua anggota polis dari Balai Polis Batu Kawa dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan pemerisaan.

Bagaimanapun pintu yang terkunci dari dalam rumah terpaksa diumpil bagi membolehkan anggota yang bertugas untuk masuk ke dalam rumah.

Mayat wanita warga emas itu terbaring di tepi timbunan kotak tisu yang berselerak.

Keadaan mangsa ketika dijumpai telah berulat dengan bahagian muka dalam keadaan tidak sempurna.

Makluman daripada pengadu di lokasi kejadian, mangsa tinggal berseorangan dan dipercayai telah tinggal dirumah tersebut lebih kurang 10 tahun.

Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Asmiardy Buseral mengesahkan kematian mangsa berkata, "tiada sebarang unsur jenayah mahupun penemuan objek tajam atau tumpul di tempat kejadian wanita itu dijumpai mati."

Superintenden Abang Zainal memberitahu usaha mengesan ahli keluarga mangsa sedang dilakukan dan orang ramai diminta tampil bagi membantu siasatan polis.

Media Baharu