fb fb fb fb fb

MCMC keluarkan 112 kompaun bernilai RM4.696 juta bagi tahun 2022

KUALA LUMPUR, 13 Disember - Sebanyak 112 kompaun bernilai RM4.696 juta dikeluarkan kepada pemegang lesen dan bukan pemegang lesen atas pelbagai kesalahan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta perundangan subsidiari di bawah akta itu dalam tahun ini, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan.

Daripada keseluruhan jumlah itu, sebanyak 106 kompaun dikeluarkan kepada pemegang lesen MCMC dengan nilai kompaun sebanyak RM4.616 juta.

Kompaun dikeluarkan kepada pemegang lesen meliputi 53 kompaun bagi kegagalan mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik, kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002 (27 kompaun), kegagalan mematuhi standard mandatori (17 kompaun).

"Kegagalan mematuhi syarat-syarat lesen (lima kompaun), kegagalan mematuhi Panduan Peraturan Pendaftaran Pengguna Akhir untuk Perkhidmatan Selular Awam Prabayar (dua kompaun), dan menawarkan perkhidmatan tanpa lesen (dua kompaun)," katanya.

MCMC berkata sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan bagi bukan pemegang lesen dengan nilai kompaun sebanyak RM80,000.

(FOTO HIASAN)

Lima kompaun adalah bagi kesalahan di bawah Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui dan satu kompaun bagi kesalahan di bawah Seksyen 235 AKM 1998 iaitu menyebabkan kerosakan kepada kemudahan rangkaian.

Media Baharu