MELAKA, 7 Julai – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menghadkan pelaksanaan kursus dan majlis rasmi membabitkan penjawat awam pada hujung minggu.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata langkah itu diambil bagi menghormati hari Ahad sebagai waktu rehat dan masa penjawat awam bersama keluarga.
“Kita buat pertimbangan… Insya-Allah. Tapi kebiasaannya kalau kita buat program, kita akan susun sama ada Khamis, Jumaat dan Sabtu. Biasanya kita akan beri rehat pada hari Ahad,” katanya ketika diminta mengulas keluhan segelintir penjawat awam di media sosial baru-baru ini yang terpaksa menghadiri kursus pada hujung minggu.
Namun menurutnya, terdapat keadaan tertentu seperti jadual program yang padat atau masa yang suntuk, menyebabkan program terpaksa diadakan sehingga hari Ahad.
“Kita cuba seboleh-bolehnya Ahad itu untuk bersama keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mahrajan TVET Tahfiz dan Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Bersama Rakan Strategik Kolej Teknologi Termaju JTM (ADTEC JTM) Kampus Selandar Tahun 2025, di ADTEC JTM Kampus Selandar, di sini.
Jelasnya, kerajaan amat menitikberatkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi penjawat awam selain memastikan penjawat awam memenuhi latihan sumber manusia.