KUALA LUMPUR, 7 Julai– Bagi menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperkenalkan satu inisiatif istimewa memartabatkan makanan warisan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.
Kempen yang mengetengahkan keaslian hidangan tradisional Malaysia dalam suasana bertaraf lima bintang ini bukan sahaja memperkukuh elemen pelancongan, malah menekankan pentingnya seni, budaya dan warisan negara kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, pendekatan ini adalah yang pertama seumpamanya yang diadakan di hotel lima bintang dan diyakini mampu merancakkan industri pelancongan negara.
“Kita tidak boleh lupa bahawa seni budaya dan warisan merupakan cabang penting yang perlu diketengahkan kepada masyarakat antarabangsa. Ramai yang belum mengetahui bahawa Malaysia kaya dengan warisan yang unik dan pelbagai. Saya amat berterima kasih kepada pihak Jabatan Warisan Negara, Hotel Shangri-La serta Tourism Malaysia atas kerjasama luar biasa ini.” kata beliau selepas melancarkan Seribu Satu Rasa Satu Warisan, Sajian Warisan Malaysia di sini, malam tadi.
Kempen ini turut mendapat sentuhan eksklusif daripada Datuk Chef Ismail, yang dilaporkan mengambil masa hampir tiga bulan bagi memastikan setiap resipi mengekalkan rasa asli dan penyediaan mengikut standard warisan.
Pihak MOTAC turut menegaskan bahawa makanan sentiasa menjadi tarikan utama dalam pelancongan antarabangsa, dan memainkan peranan penting dalam memperkenalkan budaya Malaysia ke seluruh dunia.
Kerjasama strategik ini dijangka diperluaskan ke hotel lain pada masa akan datang dan sebagai sebahagian daripada pelan promosi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.