fb fb fb fb fb

Tragedi di Sungai Korok: Jenazah enam sekeluarga selamat dikebumi

Foto RTM

ALOR SETAR, 7 Julai - Jenazah enam sekeluarga yang lemas dalam kejadian kemalangan kereta di Sungai Korok, dekat Jitra selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira- kira pukul 11.20 malam tadi di Tanah Perkuburan Masjid At Taqwa Kampung Jerlun, di sini.

Kesemua jenazah dikebumikan selepas selesai bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar kira- kira pukul 9.30 malam tadi.

Terdahulu, kira-kira 500 orang hadir menunaikan solat jenazah di Masjid At Taqwa Kampung Jerlun yang diimamkan oleh Amir Abdul Wahab sebaik tiba di perkarangan masjid kira- kira pukul 10.00 malam .

Kesemua jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira- kira 500 meter dari masjid.

Jenazah pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, diturunkan perlahan- lahan ke liang lahad diikuti jenazah empat anak pasangan itu iaitu Putra Rayyan Nur, 9 tahun, Annayla Humaira Nur, 7 tahun serta Hawa Adriana Nur, 8 tahun dan Tuah Haydar Mohamad, enam bulan.

Kira- kira 1,000 orang hadir memberikan penghormatan terakhir dan turut kelihatan ahli keluarga mangsa bersama seorang lagi anak pasangan itu iaitu Putri Qisya,12 tahun..

Difahamkan, Tuah Haydar mempunyai kembar iaitu Jebat Haydar yang meninggal ketika berusia 32 hari.

Sebelum ini, media melaporkan mayat enam beranak itu ditemukan lemas di dalam kereta di dalam Sungai Korok.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN