fb fb fb fb fb

Polis siasat insiden van sekolah langgar treler rosak

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung insiden kemalangan melibatkan sebuah van sekolah dan sebuah lori treler di Johor Bahru / Foto Tular

JOHOR BAHRU, 7 Julai – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung insiden kemalangan melibatkan sebuah van sekolah dan sebuah lori treler yang berlaku sekitar pukul 2 petang, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Balveer Singh berkata kemalangan tersebut menyebabkan pemandu van berusia 46 tahun serta dua orang pelajar mengalami kecederaan.

Ketika kejadian, van sekolah terbabit membawa seramai 21 orang pelajar.

“Siasatan awal mendapati van sekolah itu dipandu dari arah Susur Dato Onn menghala ke utara sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler yang berhenti di laluan tersebut akibat kerosakan enjin,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketiga-tiga mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk menerima rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59), yang melibatkan pelanggaran jarak selamat dan pemanduan berhemah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN