(Wanita rebah dan meninggal dunia di Pantai Telik Mak Nik, Kemaman)
KEMAMAN, 31 Mei- Hasrat seorang wanita untuk menemani abangnya mengajar kelas ilmu persilatan kanak-kanak tidak kesampaian apabila dia tiba-tiba rebah dan meninggal dunia di Pantai Teluk Mak Nik, Geliga, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Nur Azirah Mohd Rahim, 37, berasal dari Kampung Paya Berenjut, di sini, telah meninggal dunia di tempat kejadian, kira-kira pukul 6.07 petang.
Pemeriksaan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan pada mayat.
Abang mangsa, Mohd Zaidi Mohd Rahim memaklumkan ketika kejadian, mangsa sedang berdiri sambil melihat kanak-kanak berlatih persilatan dan secara tiba-tiba dia jatuh serta tidak sedarkan diri.
Mangsa mempunyai rekod darah tinggi dan asma serta menerima rawatan berkala di Hospital Kemaman dengan kali terakhir rawatan pada 23 April lalu.
Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan selanjutnya.
(Wanita rebah dan meninggal dunia di Pantai Telik Mak Nik, Kemaman)