fb fb fb fb fb

Majlis pemasyhuran UniSIRAJ,13 November ini

Foto UniSIRAJ

ARAU, 7 November -Majlis Pemasyhuran Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) secara rasmi bakal berlangsung di Dewan 2020 Kangar pada 13 November ini.

Majlis itu akan disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Pemasyhuran tersebut yang disekalikan dengan pengenalan logo baharu menandakan satu lagi detik bersejarah dalam landskap pendidikan tinggi Islam di negeri Perlis, selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai pusat keilmuan Islam bertaraf antarabangsa.

Maklumat berhubung majlis berkenaan telah dipersembah maklumkan oleh Rektor UniSIRAJ, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga merangkap Canselor UniSIRAJ, dalam satu sesi sembah mengadap di Bilik Mesyuarat, Galeri DiRaja Arau.

Objektif utama penganjuran majlis adalah untuk menghargai sokongan dan keprihatinan Institusi Diraja Negeri Perlis terhadap pembangunan pendidikan Islam, memperkenalkan transformasi institusi secara rasmi, mengukuhkan jalinan strategik bersama pihak berkepentingan serta menyerlahkan komitmen universiti terhadap kecemerlangan akademik dan pembangunan insan berteraskan nilai Islam.

UniSIRAJ sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dimana transformasi KUIPS kepada UniSIRAJ merupakan langkah strategik bagi memperkukuh peranan institusi ini sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan berteraskan ilmu Islam, integriti serta inovasi.

Majlis Pemasyhuran UniSIRAJ dijangka menjadi simbol penyatuan antara tradisi keilmuan Islam dan visi pendidikan moden, sekali gus menjadi titik tolak kepada era baharu pendidikan tinggi Islam yang lebih berkemajuan dan progresif di negeri Perlis.

TETITIA YUSOFF