fb fb fb fb fb

Wanita Orang Asli maut dipijak gajah liar

(FOTO IHSAN POLIS)

KUALA LIPIS, 6 Disember- Seorang wanita Orang Asli maut akibat dipijak gajah liar di Kampung Simoi Baru, Pos Betau,Kuala Lipis, Pahang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.00 pagi itu, mangsa, Wak Angkat Yok Tong, 39, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 4.40 pagi berhubung kematian seorang wanita di kampung tersebut dipercayai diserang sekumpulan gajah.

Menurutnya, mangsa tidak sempat melarikan diri lalu dipijak haiwan liar berkenaan.

Jelasnya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa bersama lapan ahli keluarga lain sedang tidur di dalam rumah kayu berdindingkan buluh kelilingi pokok pisang berhampiran kebun getah.

Sekumpulan gajah dipercayai menarik dinding dan menyebabkan rumah bergoyang.

Kesemua sembilan ahli keluarga tersebut tersedar dan masing-masing melarikan diri dalam keadaan gelap.

Namun, selepas berkumpul semula ahli keluarga menyedari mangsa tiada.

Mereka kemudian menjumpai mayat mangsa di dalam kawasan pokok pisang berhampiran rumah mereka.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Koyan bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa telah meninggal dunia akibat dipijak oleh gajah.

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk bedah siasat.


(FOTO IHSAN POLIS)

Media Baharu