PUTRAJAYA, 13 November- Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan kerajaan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan perkataan “menghina” dan “menjengkelkan” dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 sebagai tidak berperlembagaan.
Keputusan itu membuka ruang kepada kerajaan untuk mencabar semula tafsiran undang-undang yang menyentuh kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Panel tiga hakim, diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, turut membenarkan dua persoalan undang-undang dikemukakan kerajaan serta satu persoalan tambahan berkaitan kesan Perkara 4(2) Perlembagaan dalam kes berkenaan.
Mahkamah turut meluluskan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan sementara menunggu rayuan substantif didengar pada tarikh akan ditetapkan kemudian.
Pada 19 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perkataan “menghina” dan “menjengkelkan” dalam Seksyen 233 tidak sah, namun keputusan itu hanya berkuat kuasa bagi kes akan datang selepas membenarkan rayuan aktivis Heidy Quah Gaik Li.
Pindaan AKM yang berkuat kuasa Februari lalu telah menggantikan perkataan “menghina” dengan “sangat menghina” bagi memperincikan maksud kesalahan di bawah seksyen berkenaan.