fb fb fb fb fb

Kerajaan lulus RM17.5 bilion, pacu pembangunan Sabah 2026

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 November- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM17.5 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan di Sabah pada tahun 2026, selaras dengan komitmen berterusan memperkukuh kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri berkenaan.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), di bawah pentadbiran Malaysia MADANI, tumpuan utama diberikan kepada pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar, termasuk Lebuhraya Pan Borneo Sabah bernilai RM13.9 bilion, yang disambung semula bagi meningkatkan jaringan pengangkutan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Dalam masa sama, kerajaan turut menambah baik kemudahan kesihatan menerusi Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, bagi memastikan rakyat mendapat akses rawatan yang lebih menyeluruh dan berkualiti.

Sementara itu, sebanyak RM1.2 bilion turut diperuntukkan bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik manakala RM765 juta disalurkan untuk pelaksanaan Projek Talian Penghantaran Southern Link.

Peruntukan besar tersebut menggambarkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan Sabah terus digerakkan secara inklusif dan seimbang, seiring dengan aspirasi membina Malaysia yang makmur serta sejahtera untuk semua lapisan rakyat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM