fb fb fb fb fb

DBKL wajibkan dua petak parkir unit kediaman baharu, tangani kesesakan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 November- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini melaksanakan Garis Panduan Perancangan Tempat Letak Kenderaan (Edisi 2024), bagi menangani masalah kesesakan parkir di kawasan perumahan padat di ibu negara.

Langkah itu menetapkan sekurang-kurangnya dua petak parkir bagi setiap unit kediaman baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata garis panduan yang berkuat kuasa sejak 25 Jun 2024 itu memastikan pemaju menyediakan kemudahan parkir mencukupi, sekali gus mengurangkan kesesakan di kawasan berpenduduk padat.

Ini juga sejajar dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang menyasarkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam kepada 70 peratus menjelang tahun 2040.

"Kami akan menggalakkan pembangunan konsep Transit-Oriented Development (TOD) yang mengintegrasikan pembangunan berteraskan pengangkutan awam dan mobiliti mesra alam. Kami juga akan mengenal pasti dan merancang mekanisme baharu perkongsian tempat letak kereta antara pembangunan perumahan dan perdagangan, di samping mengoptimumkan penggunaan ruang di bawah laluan LRT dan lebuh raya sebagai tempat letak kenderaan."

"Selain itu, kami akan menyediakan pilihan mod yang pelbagai serta teknologi maklumat dan data yang dinamik bagi perkhidmatan pengangkutan bandar, termasuk pembinaan bangunan tempat letak kereta bertingkat untuk mengurangkan kesesakan, terutamanya di kawasan kediaman mampu milik," kata Datuk Seri Dr. Zaliha di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, langkah tersebut antara pendekatan strategik kerajaan bagi mewujudkan sistem parkir lebih tersusun, selain menggalakkan rakyat beralih kepada pengangkutan awam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM