fb fb fb fb fb

KPKM perkukuh pengeluaran benih tempatan, jamin mutu konsisten kepada petani

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 November- Satu akta sedang dirujuk bagi memastikan mutu benih konsisten, selaras dengan usaha memperkukuh pengeluaran benih tempatan melalui Majlis Benih Negara (MBN).

Inisiatif tersebut bertujuan memastikan pesawah mendapat benih berkualiti, meningkatkan hasil pertanian serta mengurangkan kebergantungan import.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata inisiatif itu dijangka memberi impak langsung kepada peningkatan pengeluaran pertanian, kestabilan harga benih dan sokongan teknikal bersepadu kepada petani.

"Perkara yang paling penting adalah untuk memastikan kualiti benih yang dikeluarkan adalah konsisten. Oleh sebab itu, bagi memastikan ketekalan ini, KPKM kini sedang meneliti dan merujuk kepada satu akta. Kami tidak mahu situasi di mana satu kelompok benih berkualiti baik diikuti oleh kelompok yang kurang baik, namun ia tetap didakwa sebagai benih yang bagus."

"Dengan adanya akta tersebut, ia akan memastikan tindakan dapat diambil terhadap para pengeluar yang didapati tidak mengeluarkan benih mengikut spesifikasi seperti yang telah dijanjikan," kata Datuk Seri Johari di Parlimen, hari ini.

Beliau mewakili Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM