KUALA LUMPUR, 13 November- Keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak negeri Sabah terhadap 40 peratus hasil yang diserahkan kepada kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai langkah positif dalam memperkukuh hubungan dua peringkat kerajaan.
Pakar Perundangan dan Perlembagaan, Profesor Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata tindakan tersebut mencerminkan kesediaan kerajaan Persekutuan menghormati serta mengiktiraf hak negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini memberi kesan positif kerana menunjukkan penghormatan kerajaan Persekutuan terhadap Perlembagaan, khususnya perkara yang telah dinyatakan dalam Jadual Ke-10 Bahagian Keempat Perlembagaan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan berunding yang dipilih kerajaan adalah langkah paling wajar untuk menyelesaikan isu berkaitan tuntutan hasil antara Sabah dan kerajaan Persekutuan secara harmoni.
Dr. Shamrahayu turut menegaskan bahawa keputusan tersebut memperlihatkan kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas utama dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.
“ME63 bukan sekadar dokumen sejarah, tetapi ia diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka penghormatan terhadapnya memberi makna besar dalam memperkukuh hubungan antara negeri dan Persekutuan,” jelasnya.
Beliau menambah, hubungan dua hala antara Sabah dan kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh melalui rundingan berterusan bagi memastikan keadilan terhadap hak negeri sentiasa terpelihara.