fb fb fb fb fb

Monsun Timur Laut: JBPM fokus 3,683 kawasan berisiko banjir

Foto fail BERNAMA

PETALING JAYA, 13 November -Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) dengan memberi tumpuan kepada 3,683 kawasan berisiko banjir di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, hanya 1,110 lokasi terlibat banjir tahun lalu, namun persediaan diperluas bagi menghadapi perubahan cuaca tidak menentu.

Beliau menjelaskan, JBPM bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi memantau kemungkinan lima hingga tujuh siri luruan angin sejuk dari Siberia yang boleh mencetuskan hujan lebat di beberapa kawasan utama.

“Kita berdoa supaya jika berlaku luruan lima atau tujuh siri, ia tidak berlaku ketika waktu pasang besar. Kita juga telah mencerap jadual pasang besar untuk memastikan pasukan dapat bersedia,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pengurusan Risiko Prasarana di sini, hari ini.

JBPM turut memberi penekanan kepada kawasan mikro bandar yang semakin kerap dinaiki air akibat hujan intensif dan sistem saliran terhad.

Kerajaan juga meluluskan 150 bot kecil untuk pasukan komuniti di kawasan tumpuan banjir.

“Kaedah ini dapat membantu tindakan awal oleh komuniti setempat dan mengurangkan beban pasukan penyelamat utama,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka amaran cuaca dan mematuhi arahan pemindahan sekiranya diperlukan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN