fb fb fb fb fb

Pengamal komunikasi perlu berlandaskan nilai kemanusiaan di era teknologi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 November - Pengamal perhubungan awam dan komunikasi memainkan peranan penting dalam memastikan mesej yang disampaikan kekal berlandaskan nilai kemanusiaan walaupun teknologi semakin maju.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun kecerdasan buatan (AI) mampu menghasilkan kata, imej dan emosi, namun hanya manusia yang mampu memberi konteks dan makna sebenar kepada komunikasi.

Oleh itu, katanya pengamal perhubungan awam dan komunikasi bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi turut berperanan membina kepercayaan antara rakyat dan institusi.

"Izinkan saya menyampaikan tiga seruan kepada komuniti ini, tingkatkan standard keseluruhan ekosistem dengan memperluas bimbingan, perkukuh etika profesional serta bekerjasamalah dengan universiti.

"... bagi melahirkan pengamal komunikasi yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berempati dan berperikemanusiaan. Kementerian Komunikasi sedia menyokong usaha kerjasama sebegini.

"Kedua utamakan ketelusan. Jika kandungan bersifat sintetik, nyatakan dengan jelas, jika data tidak lengkap, akuilah. Jika fakta berubah, bimbing masyarakat untuk memahami perubahan tersebut.

"Sesungguhnya, kredibiliti yang berasaskan kejujuran akan sentiasa bertahan lebih lama daripada kempen yang paling meyakinkan", katanya.

Beliau berharap seruan itu dapat memperkukuh peranan komunikasi negara diperingkat global dan dikenali sebagai negara yang progresif, inklusif dan yakin diri.

Dalam pada itu, Datuk Fahmi turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan PRactitioners yang menganjurkan Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCF) Malaysia 2025 yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis perasmian Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCF) 2025 di ibu negara.

 

ROSLINA BINTI DIN