
IPOH, 26 Februari – Seorang wanita warga emas berusia 81 tahun yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu, maut selepas rumah di diaminya di Jalan Lahat, Simpang Pulai musnah hampir 90 peratus dalam kebakaran, malam tadi.
- Wanita OKU pekak dan bisu berumur 81 tahun ditemui maut di ruang tamu selepas kebakaran memusnahkan hampir keseluruhan rumah.
- Adik lelaki mangsa berusia 79 tahun berjaya menyelamatkan diri dari insiden itu.
- Operasi memadam melibatkan 27 anggota dari BBP Simpang Pulai, BBP Pasir Puteh dan PBS Pekan Baru.
- Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat; mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.31 malam.
“Setibanya di lokasi, api sedang marak membakar hampir keseluruhan rumah dan mangsa ditemukan meninggal dunia di ruang tamu bahagian tengah kediaman.
“Seorang lagi penghuni yang juga adik lelaki mangsa berusia 79 tahun berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, api berjaya dikawal pada pukul 11.20 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.01 pagi.
Operasi melibatkan 27 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, BBP Pasir Puteh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.