JOHOR BAHRU, 16 Jun- Seorang wanita berumur 39 tahun, maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah van sekolah di kilometer empat, Jalan Skudai, Pantai Lido, Johor Bahru, Johor, pada pukul 6.54 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, tiada pelajar sekolah berada dalam van tersebut, ketika insiden berlaku.
Kemalangan dipercayai berlaku, selepas kereta dipandu mangsa hilang kawalan, lalu melanggar bahagian belakang van sekolah tersebut.
Pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa berpusing, sebelum terbabas di bahu kiri jalan.
Mangsa yang tercampak ke atas jalan, mengalami cedera parah di kepala, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.