JOHOR BAHRU, 16 Jun - Hospital Pasir Gudang (HPG), Masai di Johor dijangka dibuka secara berperingkat, bermula Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, Jabatan Kecemasan dan Trauma serta pembedahan am akan beroperasi terlebih dahulu, bagi menampung kesesakan di hospital sedia ada.
"Kami ada 14 klinik pakar di HPG. Sebahagiannya akan beroperasi secara berperingkat kerana pasukan doktor pakar perlu lengkap baru perkhidmatan itu boleh ditawarkan.
"HPG akan beroperasi sepenuhnya pada tahun depan. Bagi masa setahun supaya kami dapat penuhi semua perjawatan dan juga melengkapkan doktor pakar dan mesin-mesin yang ada di hospital tersebut supaya boleh beroperasi secara sepenuhnya."katanya.
Setakat ini, beberapa jawatan penting seperti Pengarah dan Timbalan Pengarah hospital berkenaan telah dilantik.
Sebanyak 1,800 perjawatan sedang disusun menerusi permohonan kepada Kementerian Kesihatan, bagi mengisi kekosongan jururawat dan doktor.
Selain memindahkan sebahagian daripada kemudahan sedia ada agar dapat membantu melancarkan pengoperasian HPG pada bulan depan.
Beliau ditemui semasa Majlis Penyerahan Cek Yayasan Sultanah Fatimah 2025 di Johor Bahru.
Sebanyak RM1 juta disalurkan bagi membantu 500 pelajar golongan B40 di Johor.