fb fb fb fb fb

RM300 juta diperuntuk perkasa nelayan, modenisasi perikanan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan di ibu negara / Foto FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 16 Jun - Peruntukan RM300 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi memodenkan sektor perikanan negara bukti kerajaan serius memperkasa komuniti nelayan B40 dan memastikan kelangsungan sumber laut negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata di bawah peruntukan itu, dua skim utama dilaksana iaitu Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan serta Skim Geran Padanan untuk Penggantian Pukat Tunda dan Bot.

"Setiap skim ini diperuntuk RM150 juta, dengan Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan akan memberi tumpuan kepada menaik taraf vesel dan automasi industri perikanan.

Manakala Skim Geran Padanan untuk Penggantian Pukat Tunda dan Bot pula bertujuan menggalakkan penggunaan kaedah tangkapan yang lebih lestari dan mesra alam," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan (JPT-PPN) di ibu negara.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi JPT-PPN berkata mesyuarat juga bersetuju untuk melaksanakan Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (TEMAN-AKUA): Akuakultur untuk Nelayan B40.

Projek tersebut menyasarkan nelayan tidak berlesen di Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis untuk beralih ke industri akuakultur.

Projek itu akan dilaksanakan dalam empat fasa, melibatkan ternakan kerang dan kupang, dengan potensi pulangan RM50 juta setahun.

"Kos keseluruhan RM5 juta bagi tempoh 2025 hingga 2029 akan disokong melalui Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur," katanya.

Beliau juga berkata mesyuarat turut dimaklumkan Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Lumut, Perak, akan melatih tekong dan nelayan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kru asing di bawah Program Latihan dan Geran Keusahawanan Nelayan Tempatan.

Program itu termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), latihan jangka pendek serta sokongan geran keusahawanan hingga RM200,000 dan sebagai permulaan Projek Rintis 2025 akan melibatkan 50 peserta.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai Ops Tiris 1.0 hingga 3.0 yang berjaya membanteras penyelewengan subsidi diesel menerusi 1,600 tangkapan melibatkan nilai lebih RM400 juta.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata pelaksanaan penyasaran subsidi bermula 10 Jun tahun lepas di Semenanjung memastikan nelayan masih menerima subsidi RM1.65 seliter melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), manakala penguatkuasaan di Sabah, Sarawak dan Labuan diperhebat.

NORAINI BINTI WAHIB