PEDU, 16 Jun- Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Pedu di Padang Terap, Kedah berjaya menghasilkan kira-kira 300 tan metrik durian kampung dan durian klon seperti Musang King, D24, Duri Hitam, Udang Merah dan lain-lain tahun ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia meningkat berbanding sekitar 200 tan metrik pada tahun-tahun sebelumnya.
Sejak diwujudkan pada tahun 2022, keluasan kawasan projek PROSPEK Pedu meningkat daripada 250 hektar kepada 280 hektar melibatkan 12 buah kampung.
Sehingga kini, sebanyak 11,144 pokok durian kampung dan 7,851 pokok durian klon telah ditanam.
Bagi perancangan tahun 2026, KEDA merancang untuk menambahbaik infrastruktur di kawasan berkenaan bagi menjadikan kebun durian sebagai Pusat Agro Pelancongan termasuk menaik taraf jalan pertanian dan mewujudkan Pusat Pengumpulan Hasil Durian.
"Jadi dengan fasiliti yang bersih dan keadaan lokasi yang menarik mampun memanrik minat pelancong apabila tiba musim durian.
"Orang awam boleh datang sini bukan sahaja membeli di tepi jalan tetapi boleh masuk ke dalam kebun-kebun dan dusun-dusun durian. Itu matlamat kita," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Durian @ Pedu 2025 di Kampung Kepala Batas, di sini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengurus Besar KEDA, Afifah Omar.
PROSPEK bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar melalui program peningkatan pendapatan, meningkatkan kualiti hidup serta menaik taraf kemudahan prasarana di kampung-kampung sedia ada.
Di Pedu, PROSPEK dengan tempoh pembangunan sehingga lima tahun dengan kos keseluruhan berjumlah RM8 juta memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di Mukim Pedu dan Daerah Padang Terap.
Pengembangan hasil pengkhususan produk berasaskan tanaman durian merupakan salah satu fokus bagi komponen ekonomi untuk dilaksanakan di PROSPEK Pedu.
Seramai 268 daripada 309 peserta tanaman durian PROSPEK Pedu telah menerima bantuan baja pada tahun 2022 dan 2023.