KOTA SAMARAHAN, 21 Julai - Seorang wanita maut akibat lemas, manakala anak perempuannya terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam tasik di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kira-kira pukul 10.00 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin ketika mengesahkan kejadian berkata mangsa, Nur Shareefah Lusia Abdullah, 50, dipercayai sedang meletakkan kenderaan di tepi jalan sebelum kereta itu meluncur masuk ke dalam tasik.
"Siasatan awal mendapati mangsa mungkin terlupa menukar gear ke kedudukan ‘Parking’ atau secara tidak sengaja menekan pedal minyak.
"Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang tenggelam dalam tasik berlumpur,” katanya ketika dihubungi pemberita RTM.
Usaha menyelamatkan mangsa gagal dan beliau disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan UNIMAS Prima.
Anak perempuan mangsa berusia 17 tahun berjaya menyelamatkan diri dan dibantu oleh orang awam di lokasi kejadian.