fb fb fb fb fb

PM akan promosi EV Perodua di G20

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

RAWANG, 11 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempromosikan model kenderaan elektrik (EV) keluaran Perodua semasa menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan minggu depan.

Menurut beliau, peluang lawatan itu akan dimanfaatkan untuk memperkenalkan dan memperluas potensi EV Perodua ke pasaran antarabangsa.

“Saya akan menjadi pegawai pemasaran utama Perodua, mempromosikan EV tersebut ke Afrika Selatan,” katanya dalam ucapan bersempena sesi lawatan dan ramah mesra bersama warga kerja Perodua di sini.

Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia kini semakin mendapat perhatian dunia hasil kesungguhan kerajaan memperkukuh pelbagai sektor, termasuk pembangunan industri automotif.

Meskipun Perodua menumpukan jualan di dalam negara, peluang untuk memasuki pasaran luar cerah memandangkan hubungan antarabangsa yang positif.

Jelas beliau, Brazil dijangka memberikan akses mudah kepada kemasukan produk keluaran Malaysia termasuk kenderaan EV Perodua ke negara itu.

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva semasa pertemuan mereka di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada akhir bulan lepas.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD