fb fb fb fb fb

Pulau Pinang tetap dasar lindungi peniaga tempatan

Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 21 Julai - Hanya peniaga tempatan dibenarkan menganjurkan pesta jualan sempena musim perayaan Deepavali di Pulau Pinang, tegas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau menjelaskan, dasar tersebut telah dilaksanakan sejak lebih lima tahun lalu atas permintaan Dewan Perniagaan India Pulau Pinang bagi melindungi kelangsungan perniagaan peniaga tempatan. 

“Kerajaan negeri tidak menghalang penganjuran pesta jualan oleh peniaga luar Pulau Pinang pada waktu lain. Namun, dalam bulan-bulan puncak menjelang Deepavali, lesen tidak akan dikeluarkan kepada penganjur luar,” katanya dalam sidang media di Komtar.

Tambah beliau, musim Deepavali merupakan tempoh kritikal bagi peniaga India tempatan kerana hasil jualan ketika ini menjadi sumber utama menampung kos operasi tahunan termasuk sewa, gaji dan cukai.

Bagaimanapun, peniaga luar masih dibenarkan menganjurkan pesta jualan antara bulan Februari hingga Mei, iaitu di luar musim perayaan utama.

Terdahulu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjelaskan, tindakan penguatkuasaan ke atas penganjuran pesta jualan India di Bukit Mertajam adalah selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan.

Dasar itu tidak bersifat perkauman atau menindas mana-mana pihak.

Deepavali dijangka disambut pada 20 Oktober tahun ini.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN