IPOH, 21 Julai - Cadangan pelaksanaan pembenihan awan di kawasan Kolam Bukit Merah, Taiping, dekat sini bagi menangani masalah kekurangan air, masih belum dapat dijalankan buat masa ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan itu tertakluk kepada kelulusan kerajaan persekutuan serta nasihat teknikal daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.
Beliau berkata, antara kekangan utama adalah arah angin yang tidak menentu boleh menyebabkan hujan tidak turun di lokasi sasaran.
Paras air Kolam Bukit Merah pada 16 Julai 2025 berada pada aras Kritikal Pengairan Tahap 2 - Foto JPS Daerah Kerian
"Pada tahun 2022, kita pernah adakan pembenihan awan, tetapi hujan turun di kawasan Kolam Bukit Merah sebaliknya turun di kawasan kediaman penduduk. Itu buatkan orang marah pada kita.
"Ini disebabkan arah angin. Jadi kerana itu, kita tidak boleh sembarangan buat pembenihan awan, melainkan kena dapat khidmat nasihat teknikal daripada kementerian berkaitan, termasuk Jabatan Meteorologi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Datuk Seri Saarani Mohamad (kiri) hadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak - Foto FB Saarani Mohamad
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut berharap agar projek pemindahan air mentah dari Sungai Perak ke Kolam Bukit Merah dapat dipercepatkan.
Projek itu pada asalnya bertujuan mengairi sawah padi di kawasan utara negeri, namun kini diperluas bagi menampung keperluan industri serta membekalkan air bersih kepada penduduk.
“Tetapi bila ada projek pembangunan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), ada permintaan daripada Pulau Pinang, ia dipakejkan sekali.
"Jadi bukan sahaja pemindahan air dari Sungai Perak ke Bukit Merah semata-mata, tetapi juga untuk tujuan loji rawatan air bagi membolehkan kita membekalkan air bersih untuk kegunaan KIGIP, orang utara Perak dan lebihannya dijual sebagai air terawat kepada Pulau Pinang,” katanya.
Projek berkenaan dilihat penting dalam menangani isu bekalan air berulang, yang turut menjejaskan petani dan penduduk setempat.