fb fb fb fb fb

Isu 40 peratus hasil Sabah: Tiada rayuan, rundingan bersama Sabah dimulakan segera

FOTO RTM

PUTRAJAYA, 11 November – Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berasaskan 40 peratus hasil, susulan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang berpihak kepada negeri tersebut.

Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan keputusan tersebut diumumkan selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada Selasa.

Berikutan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan segera proses rundingan bersama Kerajaan Sabah.

“Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, kami tidak akan membuat rayuan dan akan memulakan rundingan segera bersama Kerajaan Negeri Sabah,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan Persekutuan akan membuat rayuan terhadap kecacatan dalam alasan penghakiman bagi kes berkenaan selepas mendapat nasihat Peguam Negara.

Ini termasuk dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan dan negeri telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974.

“Terdapat juga kenyataan dalam Alasan Penghakiman yang mendakwa bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional dan tidak berkadaran dari segi prosedur. Berhubung hal ini, kerajaan akan mempertimbangkan untuk merayu mengenai kecacatan tersebut,” tambah kenyataan itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD